Just feel like sharing, i got this email, and here it goes. thanks to my email contacts for sending me stuffs to read!
Hari ini, saya terpanggil bagi berkongsi satu kisah
yang sangat menyentuh hati dan naluri saya sebagai seorang yang bergelar ummi,
anak dan insan. Kisah ini adalah perkongsian daripada seorang DJ radio yang
menjadi halwa telinga saya di dalam kereta, sepanjang menuju ke pejabat. Ini
adalah kisah benar yang diceritakan oleh rakan beliau yang bertugas sebagai
anggota bomba. Mungkin ada juga rakan-rakan di luar sana yang turut mendengar
perkongsian ini.
Kisahnya perihal satu keluarga yang mengalami kemalangan
ngeri. Kereta yang mereka naiki terbabas, berpusing, melanggar pembahagi jalan
lalu terperosok ke dalam longkang. Dalam kejadian ini, kereta itu remuk teruk
dan penumpangnya mengalami kecederaan parah. Cermin hadapan habis retak
berderai. Tidak ditekankan keadaan pemandunya. Tetapi saya fikir, pemandunya
menemui ajal di situ juga. Mahu diceritakan, penumpang yang duduk di sebelah
pemandu mengalami kecederaan yang sangat parah. Wajahnya habis berlumuran darah.
Dahinya terkopek sehingga menonjolkan tulang tengkorak. Mungkin juga akibat
terhantuk pada papan pemuka kereta ditambah dengan pecahan kaca cermin hadapan.
Ajaibnya kuasa Tuhan, bayinya selamat tetapi terpelanting ke kerusi belakang.
Bayi kecil yang tidak tahu apa-apa itu meraung dan menangis. Mungkin kerana
kesakitan, kesedihan, terkejut dan sebagainya.
Sewaktu anggota bomba itu
mengambil dan mahu menyelamatkan si kecil tadi, ibunya terketar-ketar dan
menggigil sambil memberi isyarat kepada beliau. Subhanallah, rupa-rupanya si ibu
tadi mahukan bayinya bagi disusukan. Diselak bajunya dengan sedaya upaya dan
disusukan si kecil itu dengan penuh rasa sayu, pilu dan kasih sayang.
Si kecil senyap di dalam dakapan ibunya. Betapa nyamannya dakapan ibu itu sehingga
mampu menenangkan si kecil yang ketakutan. Dengan kuasa dan izin Allah, ibu itu
tiba-tiba tercungap-cungap mencari nafas, tanda ajalnya yang semakin hampir.
Lalu terkapailah si ibu dalam keadaan yang penuh rasa tanggungjawab dan kasih
sayang itu. Ya Allah, betapa pilunya situasi itu sehingga merenggut ketenangan
anggota bomba tadi.
Sewaktu saya mendengar perkongsian ini, air mata saya
berderaian laju menitis di pipi. Malah, tatkala menukil kata demi kata dalam
ruang maya ini juga, bagaikan sukar air mata ini mahu ditepis. Betapa luhur dan
agungnya perasaan kasih seorang ibu kepada permata hatinya. Tidak terbalas dek
kita sebagai anak, yang selama ini tidak habis-habis bergantung pada jasa
ibu.
Dari kecil dibelai ibu, sudah besar masih juga mahu bergantung pada
ibu. Masakan tersedap, air tangan ibu. Segala pengalaman dunia, mahu dirujuk
pada ibu.
Sahabat sekalian, selagi kita memiliki dan punya ibu, hargailah
ibu kita setinggi-tingginya. Muliakan dan tatanglah ibu kita persis menatang air
yang penuh tatkala berada di gurun yang gersang tanpa penghujung. Betapa
berharganya air itu sehingga sekiranya boleh, setitis pun kita tidak mahu jatuh
ke bumi. Tanpa air itu, takkan lama kita bertahan dalam mengharungi perjalanan
di atas gurun tadi.Semoga kita mendapat iktibar daripada kisah yang dikongsikan
ini.
Sekian.
seriously I cry each and every time I read this..
0 comments:
Post a Comment